Wednesday, April 23, 2008

Zamil Idris - Angin Malam

Zamil Idris singing "Angin Malam" by Broery Marantika for the 3rd Asia-Europe Ministers (ASEM) Meeting Gala Dinner, hosted by the Ministry of Unity, Culture, Arts & Heritage, held at Kompleks Kraf Malaysia.

Friday, April 11, 2008

Harian Metro: Kenangan Indah Aidilfitri

Kenangan Indah Aidilfitri
oleh Norhayati Nordin

SETIAP kali hadirnya Aidilfitri, pelbagai kenangan indah menerjah fikiran. Malah, situasi yang berbeza itu kalau dapat dikongsi bersama, pasti hebat. Apa tidaknya, setiap tahun sudah tentu banyak peristiwa dilalui sama ada yang manis atau sebaliknya.

Justeru, tiga pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, 36, Ahmad Zamil Mohd Idris, 30, dan Hisham Salleh, 27, sedia berkongsi cerita raya mereka. Masing-masing mempunyai kisah yang menarik.

Sayed Munawar yang mengacarakan Selamat Pagi Malaysia (SPM), berkata sejak berkeluarga, Aidilfitri dirai cukup meriah kerana isteri dan anak. Malah, menjadi kebiasaannya sekeluarga memasak juadah bersama dan istimewanya ia resipi buatan sendiri.

“Setiap tahun begitulah keadaannya. Ada saja juadah baru dicipta dan apa ‘rasanya’ ditolak tepi. Sedap atau tidak, bukan perkara utama kerana yang penting ia menjadi. Alhamdulillah, setakat ini juadah dimasak itu membuka selera untuk dinikmati.

“Saya sangat suka memasak. Disebabkan itu, memang tiada resipi khusus dimasak setiap kali Aidilfitri kerana menunya sentiasa berubah. Dalam soal ini, saya gemar mencuba sesuatu yang baru dan salah satunya diperoleh daripada masakan,” katanya.

Bapa tiga anak ini berkata, dia bertuah kerana isteri dan anak tiada masalah. Setakat ini, mereka tidak membantah apa yang dilakukan. Malah, seronok apabila juadah itu dinikmati seisi keluarga dan ia mengeratkan lagi kasih sayang.

Bagi Hisham pula, kenangan meraikan Aidilfitri di negeri kelahirannya, Sarawak sangat menyeronokkan. Katanya, di sana hari raya akan dirai selama sebulan sama seperti Ramadan. Malah, tempoh itu memang sentiasa diadakan rumah terbuka.

“Budaya kunjung-mengunjung satu keutamaan. Selagi dalam ‘mood’ hari raya, semua orang digalakkan berziarah ke setiap rumah. Selalunya, Aidilfitri pertama akan membabitkan kunjungan di rumah sanak saudara dan hari berikutnya kediaman rakan.

“Pelbagai juadah kuih-kuih dihidangkan. Justeru, kalau keluar rumah dengan perut kosong, bila balik pula sudah kenyang. Di Sarawak, begitulah keadaannya dan ia sangat meriah. Terus-terang, saya amat merinduinya kerana di Kuala Lumpur tidak ada,” katanya.

Pemuda kelahiran Miri dan pengacara baru SPM ini berkata, zaman kanak-kanak lagi seronok. Berkunjung ke setiap rumah bukan saja hendak makan kuih tetapi mencari duit raya. Malah, tidak ketinggalan bermain mercun dan bunga api.

Sementara itu, Zamil yang mengacarakan Hello On Two (HOT) di RTM2, berkata sambutan Aidilfitri bersama Allahyarham bapanya, Datuk Idris Ibrahim tidak dapat dilupakan hingga kini. Katanya, sangat seronok dan saat itu amat dirindui.

“Ketika ayah masih ada, rumah sentiasa meriah. Sambutannya hebat kerana kami sekeluarga akan bergandingan menyediakan segalanya. Namun, sekarang sudah berbeza kerana sejak ketiadaan ayah, tidak macam dulu lagi. Kurang seronok.

“Jadi, saya senang bersederhana. Kami sekeluarga buat apa saja yang menjadi tradisi sebelum ini seperti balik beraya di Seremban pada Aidilfitri pertama. Bertemu sanak- saudara di kampung sedikit sebanyak menghiburkan,” katanya.

Menyentuh perkembangan karier nyanyiannya, Zamil yang pernah menyertai program realiti TV, Malaysian Idol musim pertama berkata, album solonya masih dalam proses.

Katanya, dia tidak mahu tergesa-gesa kerana mahukan hasil terbaik dan berkualiti.